Followers

Monday 30 December 2013

Andalus in MEMORIES

Bismillahirrahmanirrahim. Sollu ‘ala Nabbi alaihi salam. Semoga syafaat baginda ada untuk kita di akhirat kelak. -Salam ambang Tahun Baru.

Kurang dari 24 jam, tahun 2013 akan meninggalkan kita semua. Lalu, tahun 2014 akan menjelma menandakan dunia kita semakin bertambah usianya. Apakah masih ada sisa harapan untuk terus menambah bekalan ke akhirat kelak? Allahu.. Semoga diri ini masih terus kuat untuk terus berlari & mampu beri manfaat buat Islam!

Bila di ambang tahun baru, seringkali dilontarkan persoalan seperti,  ‘apa azam baru?’, ‘apa azam lepas yang tak tertunai?’, ‘ada azam baru atau sama dengan azam yang lepas?’.

Andai ditanya, jawapan saya hanya satu, yakni semoga Allah akhirkan umur saya dalam keadaan yang benar-benar solehah, yang benar-benar beriman. Sungguh, itu impian saya. Itu azam saya, yang barangkali bukan sahaja disematkan setiap kali tahun Masihi & Hijri berubah, malah di setiap sujud akhir solat, saya pinta pada Pemilik Nyawa saya. Saya yakin, Dia Maha Mendengar!

Sebagai penutup tirai 2013, suka saya untuk kita sama-sama teropong serta perhalusi kembali 1302 tahun yang lepas, yakni dalam lingkungan tahun 711 Masihi hingga 755 Masihi. Apa yang berlaku waktu itu? Sejarah apa yang membanggakan Umat Islam ketika itu? Adakah ketika itu Kelab Barcelona & Real Madrid telah didaftarkan? Apakah ibrah serta pengajaran yang boleh kita ambil?

Saya yakin, tak ramai dari generasi Y yang mampu menjawab apakah kisah di sebalik tahun 711M itu. Solusinya, mari sama-sama kita berkongsi cerita. Andai kita generasi Y pun lemah dalam mengingati sejarah, apakah yang akan berlaku pada generasi X dan generasi akan datang?

...............................................................................................................................

Ramai yang tidak mengetahui betapa Andalusia (Sepanyol/spain) dahulu begitu istimewa  dan unik. Pada ketika itu, sejarah melakarkan tamadun di Andalusia merupakan  ‘pemerintahan Islam yang hebat!’. (711-194)

Secara integralnya, para sejarawan bersepakat menyatakan bahawa kedatangan Islam ke Sepanyol adalah di bawah pimpinan Tariq ibn Ziyad. Di mana, sebelum itu wilayah Sepanyol dimonopoli secara rakus oleh golongan bangsawan (noble lord) sehingga berlaku penindasan terhadap golongan bawahan. Krisis ini menyebabkan ramai rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan pihak pentadbiran negara mereka. Kesannya menyebabkan banyak tanah pertanian terbiar beku, industri-industri terpaksa ditutup sekaligus melumpuhkan ekonomi Andalusia.

Menyedari kepincangan itu, Gabenor ‘Visigothic’ (Visigoth) iaitu Count Julian berpaling tadah dan menentang Raja Don Roderick, malah beliau turut bekerjasama dengan Tariq ibn Ziyad untuk mengembalikan keadilan di wilayah tersebut. (Ada yang mengatakan, tindakan Julian itu ada kaitannya dengan tindakan Don Roderick yang telah merogol isteri & anak perempuannya).

Tariq ibn Ziyad memimpin pasukan Islam yang ketika itu jumlahnya hanya 7000 orang, berdepan pula dengan tentera Don Roderick yang berjumlah seramai 100000 orang.

Secara ringkasnya, kemenangan telah berpihak kepada tentera Islam dan sekaligus telah membuka ruang untuk pasukan Islam terus menguasai Andalusia sehingga Tariq dapat meneruskan penguasaan ke Cordova dan Teledo. Kemenangan demi kemenangan dapat dicapai oleh tentera Islam dalam usaha melebarkan kerajaan Islam di bumi Eropah termasuk Bandar Zarogoza, Leon, Malaga, Sevilla dan beberapa buah bandar lain.

Sejak dari itu, Islam mula tersebar luas ke seluruh Andalusia dan bermulalah penguasaan Bani Umayyah di Andalusia. Andalusia ketika itu berjaya mencipta kegemilangan yang menakjubkan. Di kala Eropah dilanda Zaman Gelap tetapi Andalusia terus bersinar dengan kemajuan dan kegemilangan yang dibawa oleh Islam. (Sehinggakan ada sejarawan mengatakan bahawa Andalusialah yang telah mencetuskan Zaman Renaissance di Eropah. Jika tidak kerana Andalusia, nescaya Eropah akan terus berada di Zaman Kegelapan).

Pada peringkat awal, pemerintah Islam berjaya mengawal masyarakat di Andalusia walaupun mereka mempunyai pelbagai latar belakang. Ada di kalangan mereka berbangsa Yahudi, Barbar, Islam, Kristian dan lain-lain. Kecemerlangan dapat dicapai apabila masyarakat berbilang kaum ini dapat dijaga dengan sempurna.

Diringkaskan, hampir 800 tahun Andalusia melakarkan pemerintahan Islam yang begitu hebat dan unik. Tempoh yang hampir 8 abad ini seharusnya membuka mata Umat islam di seluruh dunia. Malah, tempoh tersebut membuktikan betapa kemunculan Tamadun Barat ada kaitannya dengan kecemerlangan Tamadun Islam yang telah terbina di Andalusia (tak terlampau untuk saya katakan, berjayanya mereka [Barat] di Andalusia sekarang hakikatnya terhasil dari kecemerlangan Tamadun Islam itu sendiri!). Nampak kan? Kini genap 520 tahun kejatuhan kuasa Islam di Andalusia, masyarakat Barat telah menikmati dengan nikmatnya keunggulan tamadun  yang dibina oleh tangan orang-orang Islam.

Ketika itu dikatakan bahawa zaman intelektual berkembang megah dengan munculnya tokoh-tokoh islam yang hebat seperti Ibn Hazm, Ibn Rushd, Ibn Bajjah, Ibn Zuhr dan ramai lagi. Termasuklah golongan elit Kristian yang dipimpin oleh Filosof terkenal Thomas Aquinas dan Maimonides, iaitu seorang ahli teologi yang pernah terkenal di Andalusia ketika pemerintahan Islam, sedangkan beliau berbangsa Yahudi.

NAMUN begitu, langit tidak selalunya cerah, kejayaan dipuncak pasti akan melalui tempoh kejatuhan suatu hari kelak. Kejayaan yang dibina Andalusia semakin lama semakin menyusut & menunjukkan Era kejatuhannya mula menghampiri. Kegagalan umat islam mempertahankan kedaulatan Andalusia telah menjadi sempadan yang pahit untuk dirungkai .

NAMUN, kejatuhan Andalusia tidak berlaku sekelip mata, tetapi ia melalui proses yang panjang. Perjalanan kejatuhannya bermula apabila pemerintahan Andalusia dijuzu’kan kepada kerajaan-kerajaan kecil akibat dari kelemahan kepimpinan utama. Lebih tepat disimpulkan, ianya rentetan daripada kelemahan pemimpin di kalangan Bani Umaiyyah yang menguasai Andalusia selepas daripada Khalifah Al-Mustansar Billah (betulkan andai saya tersilap).

Andalusia yang diperintah oleh satu kerajaan, satu khalifah, berpecah menjadi 20 buah kerajaan kecil. Pembentukan kerajaan-kerajaan kecil ini turut dikenali sebagai Muluk Al-Tawa’if, ia wujud disebabkan semangat puak serta sikap fanatik terhadap bangsa. Mereka mula tidak berpegang kepada semangat ukhwah Islamiyyah & seakan menjurus kepada ketuanan kaum sesama sendiri.
Akibatnya, Cordova (yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai Al-Qurtubah) merupakan bandar terakhir di bawah penguasaan Islam sebelum Andalusia jatuh sepenuhnya ke atas golongan Kristian (Raja Ferdinand). Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamat maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Sultan Abu Abdullah daripada diguling dengan lebih teruk.
Ringkasnya, tanggal 2 Januari 1494 Masihi, Sultan Abu Abdullah telah menyerahkan Wilayah Granada kepada Raja Fernidand V rentetan akibat beliau tidak mampu lagi menahan serangan-serangan tentera Kristian. Penyerahan Wilayah Granada menandakan berakhirnya penguasaan umat Islam ke atas tanah Andalusia. Pada tahun 1609 M, boleh dikatakan tidak ada lagi umat Islam di daerah ini. Namun, Al-Hambra tidak dihancurkan oleh orang Kristian kerana ianya merupakan peninggalan terhebat.

-AL HAMBRA CASTLE-

KINI, saat kegemilangan Andalusia di bawah pemerintahan Islam sudah tiada. Yang tinggal hanyalah sejarah! Sejarah untuk dikenang, sejarah untuk dijadikan pengajaran/ibrah dan sejarah yang hanya tinggal sejarah. Hanya tangisan yang sayu bergema tatkala mengenangkan Andalusia.
...............................................................................................................................
RASA sebak apabila mengenangkan kronologi Era kegemilangan Andalusia sehingga Era kejatuhannya. Pengalaman naif ini perlu kita pelajari & jadikan ianya satu sempadan agar umat zaman kini tidak mengulangi kesilapan lampau. Secara peribadinya, mustahil untuk kita perbaiki sejarah Andalusia untuk manfaat wilayah itu, NAMUN yang pastinya pengalaman serta ibrahnya dapat diperolehi bagi manfaat kita semua serta generasi kini & akan datang.
Saya pasti buat mereka yang pernah menjejak kaki di sana serta mengetahui sejarah Andalusia suatu ketika dahulu, akan merasa sayu serta sebak apabila mengenangkan segalanya. Dahulunya gah & dipenuhi orang Islam di serata wilayah. Namun kini, orang-orang Kristian yang bermonopoli wilayah tersebut.
NAMUN, dengan izin Allah, insyAllah suatu hari nanti bumi Andalusia pasti kembali gemilang dengan cahaya kemilangan Islam!

-Sang Perindu-

No comments:

Post a Comment